Selasa, 30 Mac 2010

TEMERLOH: “Kalau tidak tahu teknik memancing ikan besar, jangan sesekali hendak menjinakkan temelian atau temoleh gergasi Sungai Semantan. Jika tidak, anda boleh berputih mata,” kata Adnan Abu Bakar, penduduk Kampung Batu 1, Temerloh, yang ditemui selepas menewaskan seekor temelian seberat 52 kilogram, baru-baru ini.

Adnan berkata, temelian begitu sukar tindakannya terutama apabila tersangkut di mata kail. Pelbagai cara dilakukan dalam usaha melepaskan diri membuatkan kaki pancing separuh nyawa melayannya, lebih-lebih lagi jika berat ikan berkenaan melebihi 20 kilogram.

“Apabila kita mengetahui ikan besar sudah tersangkut di mata kail, biarkan ikan berkenaan meloloskan diri. Tetapi berwaspada dengan keadaan lubuk terutama reba kayu ataupun batu yang memungkinkan tali terputus. Apabila ia berhenti, segera mengkarau tali dan cuba menaikkannya ke separuh air, jika gagal jentik tali utama bagi memanipulasikan ikan berkenaan

“Melayan aksi ganas temelian umpama kita cuba memberhentikan sebuah enjin bot sedang memecut laju. Kalau kita menahannya tali utama 100 paun pun boleh putus atau mata kail boleh lurus, jadi bagi mengatasinya kita biarkan sehingga ikan keletihan, tetapi memakan masa.

“Selalunya pemancing tidak boleh bersabar dan ingin cepat menewaskan ikan gergasi berkenaan, akhirnya mereka berputih mata. Ada pemancing yang tidak mahu mendengar nasihat rugi besar apabila jorannya patah dan kekili rosak gara-gara penangan temelian,” katanya.
Ditanya akan umpan yang digunakan, Adnan memberitahu, hanya pelet dan cacing air paling mujarab untuk menewaskan spesies kedua paling popular di Temerloh selepas patin.

“Saya menggunakan pelet memandangkan temelian sering kelihatan memakan sisa makanan itu yang diberikan pengusaha ikan patin sangkar. Malah, ketika saya menewaskan temelian dua tahun lalu, umpan yang sama saya gunakan,” katanya.

Adnan berkata, sejak berita beliau menewaskan temelian gergasi 42 kilogram itu, tebing Sungai Semantan kini dikunjungi kaki pancing yang datang dari pelusuk tanah air. Malah, mereka mendakwa masih ada lima atau enam ekor spesies itu mendiami sungai berkenaan.

“Temelian sering menunjukkan diri di sebelah petang dan menghempas air pada sebelah malam. Ikan ini bergerak dalam satu kumpulan dan mendiami lubuk seperti kawah berhampiran batu di sungai berkenaan.

“Seingat saya, sudah tiga ekor temelian gergasi berjaya didaratkan pemancing. Namun, Sungai Semantan tetap dikunjungi orang terutama penggemar ikan air tawar,” katanya.

Mengenai ikan yang ditangkapnya, Adnan berkata, sebahagian daripadanya dijual kepada penduduk kampung dan kaki pancing manakala sebahagian lagi diagih-agihkan kepada rakan-rakan yang ingin merasai keenakan tangkapannya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan